Tuesday 15 October 2013


Keputusan kes kalimah Allah oleh Mahkamah Rayuan diragui dan didakwa  tidak peka kepada keadaan semasa, kata peguam dan bekas hakim yang juga melihat ia memberi kesan buruk kepada kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam maklum balas kepada penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan akhbar Herald tidak dibenar menggunakan kalimah Allah, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberitahu The Malaysian Insider bahawa keputusan tersebut memberi implikasi kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.
Bekas hakim itu yang tidak mahu namanya disebutkan berkata, gesaan badan bukan kerajaan (NGO) di Semenanjung yang mahu Putrajaya turut mengharamkan kalimah itu digunakan di Malaysia Timur adalah satu cadangan yang merbahaya buat Perdana Menteri.
"Sabah dan Sarawak dianggap simpanan tetap Barisan Nasional (BN) apabila 47 daripada 133 kerusi parlimen di dua negeri itu menang dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
"Najib harus menyatakan pendirian sekarang. Beliau tidak boleh berdiam diri lagi kerana perbuatan itu menunjukkan beliau menyokong NGO pendesak tersebut dan meletakkan kedudukannya dalam bahaya," katanya.
Beliau berkata, kebebasan beragama adalah syarat yang dimeterai semasa membentuk Persekutuan Malaya di antara Sabah, Sarawak dan Singapura kira-kira 50 tahun lalu.
"Keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah adalah bertentangan dengan hak penduduk Sabah dan Sarawak untuk mengamalkan kepercayaan mereka," katanya.
Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kebiasaannya menggunakan Al-Kitab dalam bahasa Melayu dan bahasa etnik mereka yang turut mengandungi kalimah Allah.
Bekas hakim itu berkata, ketua menteri dan penggubal undang-undang BN di kedua-dua negeri itu perlu memperhalusi keputusan Mahkamah Rayuan ekoran mereka perlu berdepan dengan 2.8 juta pengundi Kristian daripada negeri itu.
"Dengan kuasa politik dan debat awam berhubung isu ini, maka akan wujud juga perbincangan politik dalam beberapa minggu ini.
"Katanya, perbincangan selalunya berkisar tentang keinginan untuk keluar dari Malaysia tetapi ahli politik di dua negeri itu akan mendapat kelebihan kuasa politik untuk mengugut Putrajaya.
Beliau berkata, kegagalan panel hakim melihat isu ini dengan lebih luas meminggirkan keselamatan dan kebajikan negara.
Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar, berkata penghakiman boleh dipertikai kerana mahkamah tidak memastikan kebenaran hujah Putrajaya jika Herald menggunakan kalimah itu akan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.
"Meskipun Menteri Dalam Negeri boleh menggunakan budi bicaranya untuk menyekat penggunaan kalimah itu tetapi arahan perlu kena pada tempatnya," katanya.
Beliau berkata, mahkamah tidak perlu mengulas sama ada kalimah Allah merupakan teras dalam kepercayaan agama Kristian.
"Mereka seharusnya bergantung kepada apa yang ditunjukkan oleh pihak gereja semasa mengemukakan rayuan.
"Masalah ini tidak perlu dibawa ke mahkamah kerana ia mengundang perpecahan dalam masyarakat, " katanya yang melihat satu badan rundingan perlu ditubuhkan bagi mengadakan perbincangan di antara pihak yang berkaitan.
Seorang lagi peguam, Fahri Aizat, berkata keputusan mahkamah atas dasar melindungi umat Islam daripada dikelirukan dan mengelak ketegangan kaum adalah tidak bertepatan.
Katanya, keputusan tersebut memperlihatkan seolah-olah umat Islam mudah diperdaya, memerlukan perlindungan dan petunjuk. ~tmi

0 comments:

Post a Comment

Pengikut

Friends